Kemuliaan Suatu Pekerjaan

Kemuliaan Suatu Pekerjaan

Pekerjaan yang mulia adalah pekerjaan yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia.Kadang-kadang kita akan bertemu dengan pelbagai situasi dan rencam dalam mengharungi liku-liku kehidupan.

“Seronok la kamu ye, jadi doktor. Banyak manfaat dan boleh tolong orang.”

‘ala, biasa je. Doktor pun orang juga.’

“Orang-orang pun, semua orang bila sakit jumpa doktor. Mana ada jumpa engineer. Apa yang kamu kata, semua orang ikut.”

‘pakcik kerja apa?’

“aku kutip sampah je”

‘ wah…mulia betul kerja pakcik.Lagi mulia dari kerja doktor’

“alah, kamu jangan la perli aku ni..aku tahu la kerja aku hina..”

‘masyaallah, pakcik, kerja pakcik ni kerja mulia. percaya la. lagi mulia dari seorang doktor jika kena cara.’

“maksud kamu?”

‘kenapa orang cakap kerja doktor ni mulia?..bagus?’

“sebab nak ambil bidang tu bukan calang-calang orang.bukan semua orang boleh ambil bidang tu”

‘hmm..susah kenapa?…sebab banyak kena membaca kan?..silibus tak pernah habis orang kata..betul tak?’

“haah”

‘maksudnya disini, ianya disebabkan oleh banyaknya membaca, atau dengan kata lain, sentiasa dengan ilmu.Pakcik setuju kan?’

“setuju.”

“jadi , pakcik pun , jika pakcik bekerja mengutip sampah ni, dalam masa yang sama, pakcik teruskan proses membaca dan mencari ilmu maka Kerja pakcik lebih mulia dari kerja seorang doktor!”

‘mana ada, kamu ni cuba pujuk pakcik”

‘pakcik pernah dengar hadis Nabi berkenaan mencegah lebih baik dari mengubat?’

”pernah”

‘cuba pakcik bayangkan jika tiadanya pengutip sampah ni..apa jadi pada negara?…sampah dibiarkan membusuk, menyebabkan kebesihan tidak terjaga. Bila kebersihan tak terjaga , penyakit makin banyak timbul.

Penyebaran penyakit berleluasa. Maka jika ini terjadi, musnah negara. bila dah jadi macam ni, baru doktor diperlukan. Sebab tu saya kata, pengutip sampah lebih mulia dari seorang doktor, sebab ia memberi manfaat paling banyak pada manusia. lebih-lebih lagi kalau dia masih meneruskan mencari ilmu, bertambahlah kemuliaan yang ada pada dirinya.

Pakcik merealisasikan sabda nabi dalam mengelak wabak penyakit dari tersebar. Itulah yang menjadikan kemuliaan pekerjaan pakcik. Sebab itu, tak perlu rendah diri. Asalkan ia menyebabkan pakcik tidak meminta-minta pada orang, rezeki halal, bertambah-tambah kemuliaan yang ada pada pakcik”

Dimana Kemuliaan Pekerjaan kita?

Begitulah keadaan yang kadang-kadang membelenggu kita. Kadang-kadang kita terlalu memandang hina pekerjaan yang dilakukan bukan disebabkan kerana apa-apa, tetapi hanya disebabkan gaji yang kecil.Tidak pernah dilihat bahawa gaji yang kecil itu lebih berkat jika disertai dengan syukur dan sabar disamping diteruskan usaha mencari ilmu.

Pekerjaan yang disertai dengan niat menjauhkan dirinya dan keluarganya dari meminta-minta, jauh dari harta curi dan samun, dari segala yang diharamkan, maka ia sudah cukup memuliakan pekerjaan yang dilakukan. Kerana dengan gaji yang ada itulah, ianya memanfaatkan sebilangan ahli keluarga kita dari sikap meminta-minta. Dengan pekerjaan kita itu juga kita memberi manfaat pada mereka yang memerlukan tenaga kerja kita di bidang itu.

Kini kita hidup di zaman ilmu. Sesiapa yang tidak punyai ilmu, tidak akan dipandang oleh sesiapa pun. Dengan ilmu, kedunguan terangkat, kebodohan tertutup , pintu kejahilan tersekat, akal disuluh dengan cahaya, dan cahaya sentiasa menerangi tempat yang gelap. Maka dengan ilmu, seseorang akan bisa mengharungi perjalanan yang penuh dengan segala macam rencam ini dengan penuh bijaksana.

Maka , seseorang yang bekerja, sehina manapun dimata manusia, tetapi apabila dirinya sentiasa disulami dengan ilmu, maka kemuliaan akan sentiasa mengiringi dirinya. Bukankah ada ayat yang menyebut “sesungguhnya orang-orang yang takut dikalangan hamba Allah adalah dikalangan Ulama’”

Maksud ulama di sini, adalah mereka yang mempunyai ilmu. Apabila seseorang mempunyai ilmu, maka ia semakin menghampirkan dirinya kepada Tuhan. Manakan tidak, semakin ia mempelajari sesuatu perkara, ia merasakan bahawa semakin cetek imunya yang ada. Perasaan merendah diri ini yang timbul hasil dari ilmu yang dipelajari inilah yang mengangkat martabat dirinya selaku hamba Allah. Ilmu yang semakin mendekatkan diri kepada Allah itulah yang menjadikan seseornag itu mulia.

Ilmu ini, bukan hanya orang-orang yang mempelajari ilmu syariatullah sahaja, bahkan segala aspek ilmu termasuklah ilmu berkaitan sunnatullah. Pengajian sains termasuk biologi, physiology, physics dan lain-lain ini apabila kita semakin mempelajarinya semakin dirasakan bahawa kekuasaan Tuhan dan kebijaksanaannya jauh lebih hebat dengan kecerdikan yang ada pada diri kita. Perasaan merasakan dirinya kerdil , tidak punya apa dan sangat tidak berkuasa akan timbul apabila ilmu yang dipelajari ini semakin dihayati. Semakin lama, semakin kecut hati pada Tuhan semakin merasa rendah diri pada Tuhan dan semakin kurang melakukan dosa. Apakah yang lebih mulia dari ilmu yang mendatangkan gerun dan rendah diri pada Tuhan?

Benarlah bahawa orang-orang yang berilmu itu lebih dekat pada Allah dan lebih takut dan gentar pada kekuasaan dan azabNya. Perumpamaan orang yang berilmu pada sifat hatinya adalah seperti padi di ladang yang semakin berisi semakin tunduk. Semakin banyak ilmu padanya semakin merendah dirilah dia.

Ada juga dikalangan manusia, yang mana, apabila diberi sesuatu kelebihan maka sifat bongkak semakin menebal di dalam diri. Umpama seekor ayam yang bertelur sebiji riuh sekampung. Ilmu atau kelebihan yang ada padanya hanyalah sedikit sahaja, tidak pernah lebih dari harta Nabi Sulaiman, tetapi angkuhnya melebihi kekerdilan dirinya. Inilah manusia yang tidak sedar diri dengan keadaan yang ada.

Apabila kita diberi kelebihan harta, ingatlah bahawa Nabi Sulaiman tidak pernah derhaka pada Tuhannya disebabkan harta yang ada. Jika kita diberi kelebihan pangkat , ingatlah bahawa Nabi Muhammad diberi kelebihan pada menguruskan hal ehwal pemerintahan , tetapi keadilan tetap ditegakkan. Jika kita diberikan kemerduan suara, ingatlah Nabi Daud tidak pernah bongkak dengan suaranya yang merdu. Kecantikan wajah tidak pernah menjadikan Nabi Yusuf derhaka pada Tuhannya tetapi ia semakin mendekatkan Nabi Yusuf dengan Tuhannya. Kesulitan yang dihadapi tidak pernah menyebabkan Nabi Ayub berputus asa dari Rahmat Tuhannya. Inilah contoh-contoh manusia yang diberi kelebihan tetapi kelebihan yang dimiliki mereka tidak pernah menjauhkan mereka dari merasa rendah diri dan semakin pula mereka mendekatkan diri mereka pada Allah, Tuhan Semesta Alam.

Bagaimana seseorang dihormati?

Apabila seseorang ditanyakan tentang pekerjaan seseorang, apabila dijawab doktor,ustaz pasti akan dipandang mulia. Inilah persepsi pertama masyarakat. Mengapa ini terjadi. Seorang doktor sudah pasti kerana hidup mereka sentiasa bergelumang dengan perkhidmatan sesama manusia. Sekurang-kurangnya, apa yang mereka pelajari, dilihat banyak memberi manfaat pada ummat. Begitu juga dengan para ustaz-ustaz, mereka dilihat sebagai pembangun akhlak manusia, meningkatkan rasa berTuhan pada hati-hati manusia, ini mengurangkan lagi gejala sosial dikalangan masyarakat. Maka masyarakat menilai kemuliaan pekerjaan seseorang juga disebabkan berapa banyak sumbangan mereka kepada masyarakat.

Bagaimanakah kita mahu melihat bahawa penjual makanan itu sesuatu yang mulia?…pencari gali minyak itu mulia?… Lapangkan dada kita, lihatlah sesuatu itu dari segala sudutnya. Kita akan dapat melihat bahawa penjual makanan itu sangat mulia kerana pertama dia mengikut sunnah Nabi di atas jalan perniagaan, kedua penjual makanan memudahkan manusia dalam membuat pekerjaan. Dengan makanan yang mereka jual, telah menjimatkan beribu-ribu manusia dari membazirkan masa mereka menyediakan masakan kegemaran mereka.

Masa-masa yang dijimatkan ini akan meningkatkan kuantiti masa seterusnya meningkatkan produk yang dihasilkan oleh mereka. Seorang pembuat rumah membeli makanan, masanya dijimatkan dan ini mempercepatkannya membina rumah, dengan tersiapnya rumah akan memberikan tempat perlindungan kepada mereka yang memerlukan.Seorang doktor membeli makanan,dengan masa yang dijimatkan ini akan menyebabkannya meningkatkan jumlah pesakit yang dirawat meningkat, pesakit yang dirawat akan sembuh dan kembali membangunkan ummah.Maka apabila kita sudah memandang dunia dari pelbagai sudut, penjual makanan menjadi mulia kerana besarnya manfaat kepada manusia.

Begitulah kita memandang manusia, kemuliaan seseorang bergantung sepenuhnya pada besarnya manfaat pekerjaan kita kepada manusia seluruhnya. Carilah manfaat apakah dari pekerjaan kalian itu,moga-moga ianya membantu dalam meraikan manusia dan seterusnya mendekatkan diri kepada Allah, Tuhan Semesta Alam.

Advertisements

~ by ABDUL HALIM on July 31, 2008.

One Response to “Kemuliaan Suatu Pekerjaan”

  1. hmm..insaf..insaf…
    err..keje programmer ni mulia tak?? hehe

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: