Palestine,lahirnya seorang pejuang Islam

Ke hadapan sahabatku Taufiq,

Sudah dua malam aku berjaga, entah mengapa selaput mata ini tidak mahu melabuhkan lapisnya membiarkan aku enak dibuai mimpi lantas melupakan semua denyut permasalahan yang melanda pemikiranku yang kian hari kurasakan kian berat membebankan.


Kelmarin selepas solat Maghrib berjemaah, Luqman sibuk melakar-lakar pos tentera Israel yang berhampiran. Mereka tempoh hari menahan Abdul Kadeer, atas alasan menyimpan senjata berbahaya. Entah apa yang mereka ketemukan, langsung aku tidak ketahui.


Sungguh kami punya senjata, namun bukan di bawah jagaan Abdul Kadeer. Israel, membuta selalu. Abdul Kadeer hanya seorang lelaki yang tua dan tempang, justeru kami tidak lagi membebankan beliau dengan apa-apa jua tugas. Kasihan anaknya Hafiz, menjerit-jerit melihat bapanya ditarik kasar. Kami tekun mengamati pelan lukisan Luqman. Rajin mendengar arahannya. Aku tahu peluang untuk menang memang tipis, kami tidak punya senjata secanggih tentera Israel, bilangan kami juga lebih kecil.


Aku senyum. Sering timbul tentangan di antara kami dulu, Lutfi contohnya. Kenapa mahu teruskan perjuangan jika terang-terangan kita kecil dan lemah? Namun jawapan itu dia ketemukan sendiri saat abangnya dibunuh seorang tentera yang meronda. Haruskah aku ingatkan bahawa jika bukan kami yang membela nasib saudara-mara kami di sini, lantas siapa lagikah yang akan bangun memenangkan kami? Tidak timbul lagi soal kenapa membalas serangan, yang penting dalam qalbu masing-masing sudah dipasakkan niat, yang mudah-mudahan ikhlas kerana Tuhan. Bukan kemenangan yang diidamkan, tapi semangat itu yang harus sentiasa dijulang. Sekurang-kurangnya kami menegakkan apa yang sepatutnya berdiri di sini. Kami lemah dan kecil, mungkin. Tapi itu bukan kayu pengukur. Kisah Omar Mukhtar selalu kami jadikan pembakar semangat. Biar syahid di tali gantung namun Italy sudah tentu tidak akan melupakan insan gagah yang selama 20 tahun tidak berputus asa membebaskan Libya daripada penjajah.


Esok dengan izin Tuhan, akan kami ke sana. Dan sudah tentu aku perlu kepada tidur yang cukup. Namun entahlah, degil sungguh lena daripada menjemputku. Lantas kuambil pena dan tinta, mencoretkan sesuatu agar jika satu masa nanti aku telah tiada, sekurang-kurangnya ada secebis hati (kau!) yang masih mengingatiku. Segala-galanya milikku tidak kekal lama, hanya kuharapkan persahabatan kita mekar, lebih kekal daripada semuanya di bumi kelahiranku ini. Serasa terlalu penat aku mendiami perasaan yang sukar dirungkaikan dengan kata-kata.


Benarkah Taufiq?
A goat would be slaughtered only if it chooses to?
Benarkah?


Kata-kata itu aku pinjam dari seseorang yang tidak aku kenali, saat kau terjatuhkan bingkisan surat khabar yang kau bawa dari Malaysia. Salah satu komen pembacamu. Aku bertanyakan maksudnya daripadamu, dan patutlah engkau sendiri serba-salah mahu menterjemahnya.


Saban malam biar sudah bertahun lamanya aku masih terdengar-dengar tangisan Khalilah adikku yang ketika itu berusia enam tahun tatkala melihatkan ibuku ditembak oleh anjing bertopengkan wajah manusia tanpa sedikitpun rasa kasihan. Aku masih ingat aku sendiri menggigil-gigil ketakutan di bawah alas tidur melihatkan percikan darah abangku Jamil saat tempurung kepalanya bersepai dilawati peluru mesin syaitan itu. Hatiku luluh melihat bapaku dipijak-pijak oleh anjing-anjing kerahan iblis itu. 21 Ogos 1969 lelaki itu begitu gah sekali menyelamatkan Masjid Al-Aqsa saat bangunan itu dijilat api dibakar Zionis. Namun malam itu maruahnya diletakkan di bawah tapak but yang menggerunkan. Taufiq, aku kira kau takkan mengerti apa yang aku rasa saat itu. Bayangkan saat menjadi pelarian di Beirut jauh dari rumahmu yang sudah hancur ranap, tiba-tiba setiap orang bertempiaran, menjerit-jerit digempur oleh bunyi yang maha kuat lalu keluar segerombolan jembalang berpakaian tentera dengan mesin pembunuh yang memuntahkan butir-butir yang berdesing memburu manusia-manusia yang tidak mengerti mengapa harus nyawa mereka direntap.


Aku kira usia 17 padamu Taufiq, kau sibuk menguruskan pendidikanmu. Sekolah dan peperiksaan, keluarga dan teman-teman, percutian dan hobi masa lapang. Aku tidak salahkanmu Taufiq, jauh sekali daripada mencemburuimu. Aku sekadar berkongsi cerita. Kita sama-sama makhluk Tuhan, dan masing-masing diuji dengan cara-Nya yang tersendiri. 16 September 1982, dua minggu sebelum ulang tahun kelahiranku yang ke 17, dan dua hari berikutnya, seramai 3500 umat Islam Palestin disembelih, diperkosa, diseksa tentera Kristian Lebanon dari Tel Aviv, dihantar khas oleh Yahudi Laknatullah, kononnya usaha untuk menyahkan “militan” Palestinian Liberation Organization. Entah dari mana Israel mendapat idea gila bahawa mereka layak membenarkan tindakan itu lantas menarik beribu-ribu nyawa umat Muhammad. Seluruh ahli keluargaku terkorban dalam peristiwa itu. Aku kira Khalilah sendiri belum pandai mengeja untuk menjadi ahli PLO. Ah, aku menjadi putus harap.


Aku tak fikir rakyat dunia hari ini punya sensitiviti untuk mendengar ceritaku. Cukup kau sahaja yang menjadi temanku Taufiq. Mendengar kisahku. Umat dunia hari ini lebih bersedih dengan kejadian World Trade Centre, menutup langsung kisah Sabra dan Shatila. Aku hanya rakyat Palestin. Bukan kelahiran Amerika. Bukan warga negara maju. Lalu kisahku tidak diambil peduli. Begitu kejap kisah WTC menjengah, Amerika menuding jari menuduh warga Afghanistan menjadi dalangnya. Begitu pantas pula bumi itu disapa oleh ramahnya bala tentera Amerika.


Kegilaan apakah ini?
Atau akukah yang sesat hidup di alam kebinatangan?


Pernah kaunyatakan padaku yang kaubenci melihat umatmu yang masih tidur. Jika aku di sini mahu menyelamatkan saudara-maraku secara fizikal, kau pula buntu bagaimana mahu menyelamatkan paradigma saudara-maramu daripada dijajah oleh cacing-cacing yang memamah kewarasan fikiran dan kekejatan iman. Kau mual dengan minda umat di bumi kelahiranmu. Sibuk dengan fesyen dan muzik (ah, aku sendiri tidak berselera untuk memikirkan perkara seremeh itu), mengikut-ikut rentak dunia terkini. Menjadikan Barat sebagai contoh tanpa sedar merekalah pembunuh benih-benih mujahid agama. Dari sekecil-kecil anak sehingga ke pakcik tua. Budaya Yahudi ditanam kukuh dalam kehidupan. Anak-anak diajar dengan tatasusila Inggeris kesemuanya, silibus agama dicarik-carik sehingga tinggal cebisan tulang, sekadar senipis selaput membran sel. Dilekakan dengan hedonisme. Terus mengikut sistem perdagangan yang ditinggalkan penjajah Inggeris, lantas membenarkan mereka menguasai ekonomi tanpa sebarang perubahan. Dan mereka menyeringai sinis menyaksikan kebebalan umat. Mendewa-dewakan sistem pemerintahan mereka. Mengamalkan sifat-sifat busuk mereka. Kau marah dan kau ingin bangun tapi kau tidak tahu caranya selain media yang kau pegang dan doa yang kautitipkan. Oh Taufiq, kau memang mulia (senyum).


Aku ingin menangis, tapi aku tidak mampu. Menangis tidak akan merubah apa-apa. Menangis tidak akan membuatkan semua umat Islam bersatu dan mengikat perjanjian memeterai keselamatan dan hak setiap nyawa Muslim di atas muka bumi. Menangis sekali-kali tidak akan menegakkan Khilafah Islamiyyah. Dan jika sekalipun aku menangis, tiada siapa yang sudi mendengarnya. Aku tidak tahu ke mana semua manusia yang diangkat menjadi pemimpin itu pergi. Mungkinkah gempa letupan di Palestin tidak terdengar ke negara-negara lain, lantas mereka meneruskan mimpi yang hanya seketika?


Dan buat kesekian kalinya aku sendiri tidak tahu apakah tindakanku untuk menyusup di bawah gelimpangan mayat malam berdarah itu, benar atau sebaliknya. Aku sepatutnya biarkan sahaja diriku mati hari itu, bukankah itu yang sewajarnya? Daripada melihat serangan berpanjangan Yahudi – Zionis terhadap Masjid Suci itu walaupun selepas Perjanjian Oslo pada 1993. Daripada menderita melihat kebejatan ihsan umat dunia. Kadang-kadang aku terfikir Taufiq, adakah cuma rakyat Palestin seperti kami sebenarnya yang mengetahui kepentingan Masjid Al-Aqsa? Ah, itu bukanlah soalan yang betul. Adakah cuma rakyat Palestin seperti kami yang beriya-iya mempertahankan Islam? Adakah negara-negara Arab yang lain, lebih tepat lagi, negara-negara Islam yang lain, gerun menghadapi Israel dan Amerika? Oh, mungkin Iraq juga mempertahankan Islam, lalu terus dengan kadar segera dibunuh bandar dan rakyatnya. Dan negara-negara lain terus menafikan kaitan mereka dengan Islam, agar terpelihara negeri dan makmur penduduknya. Oh… Kasihannya rakyat bumiku tak terbela…


Marah?
Gilalah aku kiranya tidak punya perasaan marah. Aku tidak minta supaya kau datang ke mari lagi Taufiq, tidak langsung aku minta kau datang ke mari meninggalkan rumahmu dan keluargamu dan negaramu yang aman damai lantas menemaniku di sini yang selalu diselubungi perasaan takut. Menemaniku bererti kau harus selalu menghitung berapa temankah yang syahid hari ini. Berkira-kira berapa lama lagi yang ada sebelum dijemput Malaikat Maut. Menenangkan diri tika hati berdegup kencang terlihatkan manusia bersenjata. Membilang hari-hari berlalu dengan rasa kesyukuran dalam setiap nafas yang disedut. Sekurang-kurangnya dengan setiap deru nafas itu Israel tahu kami masih tidak mengalah. Yahudi tahu bahawa janji Tuhan akan tiba. Melihat Amerika tidur terus-terusan dalam istidraj. Biar. Aku yakin Taufiq, Tuhan Maha Adil.


Dunia melihat aduan terhadap Ariel Sharon difailkan di mahkamah antara bangsa untuk jenayah perang (Belgian Courts for war crime), tapi dengan selamatnya dia berjaya meloloskan diri. Heh, dan aku kira Slobodan Milosevic mungkin berasa jaki terhadap Sharon. Oh, subhanallah. Besar hikmahnya aku hidup selepas Sabra dan Shatila Taufiq. Biarpun aku terpaksa menyaksikan Sharon digelar oleh anjing saudaranya Bush sebagai “A Man of Peace”, paling kurang dari Lebanon aku nekad kembali ke Palestin menjadi ahli Hamas pada 1987. Bangga aku dinobatkan sebagai Atfal Hijarah, sedang katamu kawan-kawanmu sudah cukup berpuas hati bergelar umat Islam tanpa sedikitpun berjuang. Fahamkah dunia betapa perit apa yang kami rasa? Memerangi Zionis dengan hatta batu. Harga yang harus dibayar kerana bergelar Muslim penduduk bumi suci. Namun aku cukup berbesar hati Taufiq, biar langsai nyawaku, agama ini agamaku, tanah ini tanahku. Usia 20-anmu kau sibuk merakam takziah buat agama, melihat umat yang lemah tak bersemangat dalam perjuangan berdakwah. Usia 20-anku pada 1989 aku mengucap syukur menyaksikan semangat sahabat-sahabatku yang dipenjarakan. Turut melaungkan takbir saat masa merakam peristiwa di Bir Nabala. Kau barangkali bungkam tatkala sahabat-sahabatmu tidak hadir ke usrah, tapi aku bungkam, lagi dan lagi saat Sheikh Ahmad Yassin dan Abdul Aziz Rantisi dibalun haiwan.


Adakah ibuku seekor kambing yang dipilih untuk disembelih Taufiq? Adakah abangku dan bapaku dan adikku dan aku dan jiran-jiranku dan saudara-maraku semuanya tidak lebih daripada kambing-kambing yang diminta untuk disembelih? Mana dunia saat kami ditindan bencana? Mungkinkah kalian akan terus lena sehingga sampainya satu saat di mana rumah kalian dihenyak dan maruah kalian dicalari? Tidak Taufiq, aku tidak mendoakan sesuatu yang buruk untuk kalian. Tidak pernah dan tidak akan. Cuma terlalu banyak harapan yang aku gantungkan. Kalian punya peluang yang tidak kami punyai. Kalian punya suara, kami cuma punya air mata yang tidak diendahkan. Kalian punya pendidikan, punya kuasa (yang kalian tidak pernah gunakan), kami cuma punya permintaan, demi permintaan.


Penat?
Sudah
aku nyatakan awal-awal, aku penat mendiami perasaan ini. Saban hari tugas tidak menentu. Mempertaruhkan nyawa. Bukan aku penat dengan tanggungjawab ini Taufiq, cuma aku penat dengan kekesalan, penat melihat kejatuhan umat. Aku sedih melihat kanak-kanak membesar tanpa persekitaran yang mendamaikan. Hafiz mungkin masih terlalu kecil untuk memahami, tapi Aminah yang berusia tujuh tahun itu begitu kejal jiwanya pada pandanganku. Semalam aku lihat dia memberi cebisan rotinya untuk Ruqayyah adik kecilnya sedang dia sendiri menelan liur melihat makanan itu dikunyah rakus. Salman, anak bongsu Luqman yang berusia 12 tahun begitu berhati-hati tidak membenarkan Aminah dan kanak-kanak perempuan lain keluar bermain tanpa pengawasannya. Pernah aku dengar kata-kata Salman;
“Kalian kaum perempuan, duduk di rumah. Jika ada apa-apa berlaku terhadap kalian, akulah yang kelak rasa paling bersalah,” oh! Sungguhkah Salman masih anak-anak?


Sungguh aku tidak mengimpikan tertegaknya Khilafah Islamiyyah saat aku masih hidup, kerana aku sendiri tidak mampu berjanji untuk terus bernafas pagi esok. Aku tidak minta untuk kerajaan kafir terus tersungkur esok, tapi usaha akan terus aku panjangkan, sungguh, dengan izin Tuhan, hatta dengan batu. Aku akan teruskan perjuangan yang sedia ada ini, walaupun aku tidak nampak kelibat kejayaan menghampiri. Aku berjuang bukan untuk menang Taufiq, aku berjuang kerana Tuhan. Aku tidak melawan untuk hidup Taufiq, tapi aku berperang untuk mati. Jika kalah, aku yakin ada perhitungan yang lebih baik untukku kemudian. Memang aku kasihkan keluargaku, teman-temanku dan segala-galanya di bumi Palestin ini, tapi aku yakin Tuhan tidak akan membiarkan kami terus-terusan bersedih.


Taufiq, harus aku carikkan noktah di sini. Aku perlu lekas berangkat, punya hal yang harus diselongkar. Terima kasih sahabat, atas lawatanmu tempoh hari. Surat ini akan kuserahkan kepada ahli bantuan dari negaramu, sampai dengan selamat hendaknya kepadamu. Mudah-mudahan Tuhan akan mengurniakan kita keimanan dan kekuatan yang bertambah mantap sehingga saat kita bertemu-Nya. Mudah-mudahan azan akan terus berkumandang di seluruh ceruk dunia. Mudah-mudahan kita terus bersyukur dengan nikmat Iman. Dan sentiasa kita dalam rahmat-Nya.


Sekiranya aku mati, Taufiq, engkaulah yang kuharapkan menggalas amanah menongkah kesedaran.


Salam juang,
Umar



Advertisements

~ by ABDUL HALIM on May 19, 2008.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: